Rabu, Jun 23, 2010

Mengenang Pemergian Almarhum Ustaz Fadzil Noor

23 Jun 2010, genaplah 8 tahun Almarhum Ustaz Fadzil Mohd Noor kembali ke rahmatullah. Untuk penyegaran kita tentang hidup dan perjuangan ini, di paparkan beberapa artikel berkaitan almarhum yang ada didunia cyber. Beliau meninggal dunia ketika Timbalan Presiden PAS (ketika itu), Dato’ Seri Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang memimpin kerajaan Terengganu di bawah pemuafakatan parti-parti politik Barisan Alternatif (BA). Allahyarham merupakan negarawan terulung pejuang dan negarawan, yang merintis Pakatan Rakyat (PR) yang ada pada hari ini.
Dato' Haji Fadzil Mohd. Noor merupakan seorang pemimpin dan tokoh politik yang dihormati dan disegani oleh semua lapisan masyarakat tempatan mahupun antarabangsa, ekoran daripada penampilan peribadinya di dalam semua aspek kehidupan. 
Berbekalkan ilmu pengetahuan yang tinggi terutamanya ilmu-ilmu agama, perwatakan yang sederhana serta sentiasa berdampingan dengan masyarakat, beliau dianggap sebagai pemimpin berkarisme. Semuanya itu hasil daripada latar belakang keluarganya dan juga pendidikan, di mana telah membentuk beliau sebagai seorang insan yang berperibadi tinggi dan dihormati.   
Latar belakang keluarga
Dato' Hj Fadzil @ Ali bin Mohd. Noor dilahirkan hasil perkongsian hidup antara Mohd. Noor Abdul Hamid dan ibunya Hindun Hj. Abdul Rahman. Dilahirkan pada 13 Mac 1937 di Kampung Seberang Pumpung, kira-kira tiga kilometer dari bandar Alor Setar, Kedah. Beliau merupakan anak sulung daripada empat adik beradik. 
Kedua-dua ibu bapanya meninggal dunia sewaktu beliau masih kecil lagi. Latar belakang keluarga sebelah ibu bapanya adalah dari kalangan keluarga yang berpegang teguh kepada ajaran Islam. Moyang beliau iaitu Tuan Guru Haji Idris Al-Jarumi merupakan salah seorang ulama' yang disegani berasal dari Wilayah Patani, Thailand dan terkenal di Kedah.
Pendidikan 
Sejarah awal pendidikan Dato' Hj. Fadzil Mohd. Noor bermula sekitar tahun 1946. Waktu itu beliau mengikuti pendidikan awal di Sekolah Melayu Derga, Alor Setar sehingga tahun 1949. Kemudian menyambung pelajaran di peringkat menengah di Maktab Mahmud sehingga tahun 1958 sebelum meneruskan pengajian tinggi di tempat yang sama hingga tahun 1962. 
Tahun 1963 beliau telah menyambung pelajaran ke seberang laut dengan mengikuti pengajian di Universiti Al-Azhar, Mesir dengan mendapat biasiswa kerajaan negeri Kedah. Di Universiti Al-Azhar, beliau mengambil jurusan Perundangan Islam (Syariah) dan menamatkan pengajiannya pada tahun 1967 dengan memperolehi ijazah Sarjana Muda dalam lapangan tersebut.
Perkahwinan 
Dato' Hj Fadzil Mohd. Noor telah mendirikan rumah tangga dengan sepupunya Datin Hajjah Siti Khadijah Ibrahim pada tahun 1963. Isteri beliau merupakan bekas pelajar Sekolah Menengah Agama Farbish Bakar, Alor Setar, Kedah. Kemudian setelah berkahwin turut bersama melanjutkan pelajaran ke Al-Azhar bersama suaminya. 
Hasil perkahwinan beliau dikurniakan lapan orang anak iaitu Huda, Ammar, Aiman, Muna'izzah, Muhamad Faiz, Salwa, Ahmad Fauwaz dan Ahmad Anas. Beliau bukan sahaja berjaya sebagai ahli politik malah merupakan ketua keluarga yang mithali dalam mendidik anak-anaknya dengan penuh kasih sayang dan bertanggungjawab.
Bakat Kepimpinan 
Sememangnya diakui bahawa beliau memiliki bakat kepimpinan yang tinggi. Bakat kepimpinan beliau mula terserlah sejak di bangku sekolah terutamanya ketika menuntut di Maktab Mahmud, di mana beliau memiliki kebolehan berpidato dan mewakili sekolah dalam pertandingan syarahan dan bahas. Keistimewaan yang ada pada beliau boleh berhujah secara spontan dan berkemahiran tinggi dalam ilmu mantiq. 
Pada tahun 1967, sewaktu di Al-Azhar, beliau pernah memegang jawatan Setiausaha dan Timbalan Presiden dalam Kesatuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM).
Perkhidmatan 
Tahun 1967 beliau pulang ke tanah air dan ditawarkan berkhidmat sebagai tenaga pengajar di Maktab Mahmud. Pada 1973 ditawarkan berkhidmat sebagai pensyarah bahagian pendidikan Islam di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) sehingga tahun 1978. 
Semasa berkhidmat di UTM, beliau telah dipecat oleh pihak pentadbir UTM ekoran tindakan beliau bertanding dalam pilihan raya pada tahun 1977 di Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Alor Merah dan Parlimen Kuala Kedah. 
Walau bagaimanapun, pemecatan beliau oleh pihak pentadbiran UTM tidak sah di sisi undang-undang dan mahkamah telah mengarahkan pihak pentadbir UTM membayar ganti rugi. Setelah isu tersebut selesai, beliau kembali bertugas sebagai pensyarah dan beberapa bulan kemudian beliau telah meletakkan jawatan kerana menceburkan diri sepenuh masa dalam perjuangan PAS.
Aktiviti Kemasyarakatan 
Selain aktif dalam politik, beliau juga pemimpin masyarakat yang bergiat cergas dalam kerja-kerja sosial. Beliau pernah memegang jawatan Setiausaha Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) cawangan Negeri Kedah. 
Beliau pernah menganggotai Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) dan memegang jawatan Setiausaha Penerangan Pertubuhan itu tahun 1973 hingga 1974. Beliau pernah memangku jawatan Presiden Abim apabila Presiden ketika itu, Anwar Ibrahim ditahan di bawah ISA. 
Sepanjang penglibatan dalam Abim, beliau turut terlibat dalam demontrasi menentang isu kemiskinan di Baling, Kedah tahun 1974. Selain itu beliau juga merupakan Setiausaha Agung Persatuan Ulama' Malaysia (PUM) tahun 1974.
Penglibatan dalam Politik 
Beliau melibatkan diri dalam politik khususnya dengan perjuangan PAS sejak tahun 1959 sewaktu menuntut di Maktab Mahmud. Beliau telah dilantik menjadi Yang Dipertua PAS kawasan Kuala Kedah dan Ahli Perhubungan PAS Negeri Kedah. Kemudian beliau menganggotai Exco PAS Kedah. Penonjolan daya kepimpinannya semakin cemerlang telah meyakinkan anggota parti untuk melantik beliau sebagai Naib Yang Dipertua PAS Pusat sepenuh masa tahun 1981 hingga 1983. 
Tahun 1983 beliau telah dilantik menjadi Timbalan Yang Dipertua PAS sebelum diberikan kepercayaan penuh oleh seluruh ahli PAS untuk menjadi Yang Dipertua PAS tahun 1989 sehingga sekarang dengan gelaran Presiden PAS. 
Pembabitan awal Dato' Fadzil di dalam kancah politik pilihan raya bermula tahun 1978, di mana PAS telah memberi mandat kepada beliau untuk bertanding di negeri Kedah dalam pilihan raya umum iaitu di kawasan Parlimen Kuala Kedah dan DUN Alor Merah. 
Pada tahun 1980, beliau sekali lagi bertanding dalam pilihan raya kecil di kawasan DUN Bukit Raya berikutan kematian ahli DUN kawasan tersebut. 
Tahun 1982 beliau sekali lagi bertanding di kawasan DUN Bukit Raya dan seterusnya berjaya mempertahankan kerusi di kawasan itu selama empat penggal berturut-turut sehingga Pilihan raya Umum 1995. 
Pada 1982 beliau menang dengan mengalahkan calon Barisan Nasional (BN) Haji Safirol Haji Hasim dan calon bebas Mohd. Mokhtar Abdullah dengan majoriti 346 undi, 1986 menang dengan majoriti 2,215 undi mengalahkan calon BN Ahmad Zakuan Hj. Ahmad, 1990 mengalahkan calon BN Dato' Syed Mansor Barakbah dengan majoriti 1,829 dan pada Pilihan raya Umum 1995 mengalahkan calon BN juga iaitu Fadzil Hanafi dengan majoriti 2,414. 
Dan yang terbaru ialah dalam pilihanraya umum ke-10 tahun 1999, beliau berjaya mengalahkan calon BN, Dato' Othman Abdul di Parlimen Pendang dengan majoriti 19,474. Dan di DUN Anak Bukit dengan majoriti 1,480 dengan mengalahkan calon BN. Dato' Hasbullah Hasnan Kamaruddin. Kemenangan beliau buat pertama kalinya di kawasan Parlimen telah disusuli oleh 26 lagi wakil PAS.  
Dan beliau juga telah dilantik sebagai Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia. Manakala di DUN Kedah pula telah disusuli oleh 11 lagi wakil menjadikan wakil PAS di SUN Kedah seramai 12 orang sebelum kemenangan calon KeADILan, Saifudin Nasution Ismail di DUN Lunas dalam pilihanraya kecil akhir tahun 2000 yang lalu. Dengan kemenagan calon BA di DUN Lunas itu menjadikan wakil BA di DUN Kedah seramai 13 orang. Dan kerajaan negeri Kedah kehilangan suara 2/3 di dalam DUN Kedah.
Jasa 
Dengan pengalaman dan jasanya yang banyak kepada rakyat, beliau telah dianugerahkan pingat Dato' Setia Diraja Kedah (DSDK), oleh Sultan Kedah pada tahun 1997, yang membawa gelaran Dato'. Hingga sekarang Dato' Hj. Fadzil Mohd. Noor masih lagi menerajui kepimpinan PAS dan diamanahkan sebagai Presiden parti.

(foto di atas : Penghormatan Terakhir Kepada Ustaz Fadzil)
Hari ini adalah hari sedih buat pendokong BA serta para pejuang Islam di Malaysia serta Dunia dengan pemergian seorang mujahid Islam menemui Allah swt.
Allahyarham Datuk Hj. Fadhil Nor telah kembali kerahmatullah untuk selamanya. Dari Seorang anak desa, Allahyarham telah berjaya menjadi pemimpin ISLAM yang digeruni di Malaysia dan rantau Asia Tenggara. Kini semuanya meninggalkan kenangan pahit dan manis sepanjang hayat beliau. Kini kita semua kehilangan seorang pemimpin perjuangan ISLAM di Alaf Baru ini tapi percayalah ada hikmah disebalik berita sedih buat kita semua.

Kronologi 20hb & 21hb.Jun.2002
10.30 malam - berita keadaan yang mencemaskan mengenai Allahyarham diterima.
1.30 pagi - keadaan Allahyarham dapat distabilkan.
7.00 pagi - berita Allahyarham sedang nazak telah diterima.
10.30 pagi - berita sedih pemergian Allahyarham kita semua terima dari HUKM.
11.30 pagi - jenazah Allahyarham dibawa ke bilik mayat untuk dimandikan, diwaktu inilah kita lihat ribuan rakyat telah memenuhi HUKM.
12.30 petang - jenazah di bawa ke Surau Taman Jaya (bersebelahan HUKM) dengan diiringi dengan laungan takbir serta tahlil disepanjang jalan yang lebih 10,000 orang mengiringinya.
12.45 petang - jenazah dilawati oleh Dymm Sultan Kedah dan telah disolat jenazah sebanyak 6 kali sebelum masuk waktu zohor. Dimana setiap kali solat jenazah lebih 3,000 orang menjadi makmumnya.
1.45 petang - rakan-rakan bukan Islam dan muslimah dibenarkan melawat jenazah di surau taman jaya.
2.30 petang - jenazah dibawa ke lapangan terbang TUDM subang dengan diiringi oleh ribuan kenderaan dan dimaklumkan lebih 5,000 pendokong BA telah berada di Subang.
2.55 petang - jenazah sampai di Subang, dengan sambutan takbir, suasana sungguh pilu kerana rakyat marhaen dengan jumlah lebih 10,000 orang mengiringi jenazah Allahyarham dari HUKM ke Subang.
3.15 petang - maklumat diterima DSAI telah dibenarkan untuk melawat Allahyarham di Subang, Usaha Nurul Izzah dan Nurul Nuha berbincang dengan Pak Lah di Subang telah berjaya untuk membawa DSAI ke Subang. Penerbangan 3.30 petang telah ditangguhkan untuk menunggu DSAI tiba dari Sungai Buluh.
4.40 petang - memandang DSAI lewat tiba dan waktu sudah terlalu lewat, Pesawat TUDM dengan membawa lebih 100 penumpang telah berlepas tepat jam 4.40 petang dari lapangan terbang Subang ke Kepala Batas.
6.00 petang -jenazah tiba di lapangan terbang Kepala Batas dengan disambut lebih 20,000 rakyat marhaen dan terus di bawa ke Darul Ulum di Pokok Sena, apa yang dimaklumkan lebih 100,000 orang telah menunggu di Pokok Sena.
7.00 petang - dengan bantuan pihak polis dan kerjasama orang ramai jenazah selamat ditiba di Darul Ulum, walaupun jalan raya kesesakkan teruk lebih 20 km, kesan kesesakkan tersebut telah bermula dari Tol-tol yang menghala ke Kedah, dan orang ramai terpaksa berjalan kaki ke Darul Ulum sejauh 10 km.
7.45 malam - selepas solat maghrib dianggarkan lebih 250,000 rakyat marhaen telah berada di Pokok Sena untuk memberikan penghormatan terakhir ke Allahyarham.
8.30 malam - maklumat yang diterima dari jarak 3km ke Darul Ulum telah tidak boleh dimasuki oleh orang ramai lagi, keadaan amat sesak dan padat. Apa yang dimaklumkan ada penyokong BA yang berjalan kaki sejak 6.30 petang ke Darul Ulum gagal sampai kerana keadaan sesak tersebut.
9.15 malam - jenazah Allahyarham telah diusung ala intifadha dari Darul Ulum ke tanah perkuburan dengan diiringi laugan takbir yang bergempita seluruh Pokok Sena dan sayup-sayup kedengaran sambutan takbir tersebut dari para jamaah yang tidak sampai ke Darul Ulum.
9.30 malam - jenazah selamat dikebumikan.
10.00 malam - upacara bacaan talkin dan tahlil selamat dilaksanakan ditanah perkuburan di hadapan Darul Ulum.
10.30 malam - rakyat marhaen datang bertali arus untuk menziarahi kubur Allahyarham, dan dijangkakan menjelang pagi ini masih ramai yang terus menziarahi serta sedekah bacaan yassin dikubur Allahyarham.
11.00 malam - kami keluar dari kawasan Darul Ulum dengan bantuan unit amal yang memberikan kerjasama kepada kami melalui jalan lain.

100,000 ziarahi jenazah Presiden PAS di Darul Ulum
ALOR SETAR, 24 Jun (Hrkh) - Lebih 100,000 membanjiri kawasan Muassasah Darul Ulum Pokok Sena bagi memberi penghormatan terakhir kepada Presiden PAS Allahyarham Dato’ Haji Fadzil Mohd. Noor malam tadi.
Orang ramai yang datang dari seluruh pelusuk negara mula membanjiri Muassasah Darul Ulum pada jam 12 tengahari sebaik sahaja mendapat berita yang menyedihkan itu dan jalan yang menuju ke Muassasah dari Alor Setar mula sesak pada jam 3 petang. Selepas itu jalan duahala sejauh kira-kira 20 km itu penuh sesak dengan kenderaan yang menuju ke situ dan beribu-ribu kenderaan terkandas sehingga jam 11 malam malam.
Menurut penduduk sekitar Pokok Sena, inilah kali pertama berlaku dalam sejarah jalanraya menuju ke pekan itu sesak.
Akibat dari kesesakan itu beberapa pimpinan PAS termasuk Mussyidul Am PAS Dato’ Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, Timbalan Presiden Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, Naib Presiden Dato’ Mustafa Ali, Setiausaha Agung PAS Ustaz Nasaruddin Md. Isa terpaksa dibawa dengan motosikal sejauh kira-kira 6 km ke Muassasah Darul Ulum.
Sementara itu Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim Kepala Batas kira-kira lima ribu orang telah mula menunggu ketibaan jenazah Ustaz Fadzil sejak jam 1 tengahari.
Pemimpin PAS yang menunggu ketibaan jenazah beliau di sini ialah Timbalan Presiden PAS Tuan Guru Haji Abdul Awang dan Ustaz Idris Omar yang tiba pada jam 4.30 petang dengan pesawat MAS, Pesuruhjaya PAS Kedah Ustaz Azizan Abdul Razak, Setiausaha Badan Perhubungan PAS Kedah Tuan Haji Mustafa Long, Timbalan Pesuruhjaya Dato’ Haji Mohd. Muslim Othman, Ketua Penerangan Ir. Haji Phahrolrazi Haji Zawawi dan Ahli Majlis Tertinggi KeADILan Azmin Ali.
Manakala antara pemimpin Umno yang turut berada di situ ialah Timbalan Menteri Dalam Negeri Dato’ Zainal Abidjn Zain, Menteri Besar Perlis Dato’ Seri Shahidan Kasim dan Exco Kedah Rosnah Majid.
Jenazah Ustaz Fadzil yang tiba dengan pesawat Hercules C-130 milik Tentera Udara Diraja Malaysia tiba bersama pimpinan PAS pada jam kira-kira 5.30 dan terus dibawa ke Muassah Darul Ulum dengan ambulan milik Pusat Khidmat Wakil Rakyat PAS Kawasan Pendang.
Jenazah beliau yang diiringi kereta peronda polis telah tiba di Muassasah di bawa ke rumah beliau untuk tatapan terakhir ahli keluarga sebelum di usung ke dalam musolla yang terletak kira-kira 500 meter dari rumahnya.
Di dalam musolla tersebut, jenazahnya di tempatkan ditengah-tengah musolla untuk memberi peluang kepada ribuan ahli dan penyokong PAS menziarahi pemimpin PAS itu.
Pada jam 9.00 malam jenazah beliau telah disembahyangkan dengan diimamkan oleh Dato’ Tuan Guru Nik Abdul Aziz dan bacaan talkin disempurnakan oleh Sheikh Mohammad Abdullah
 
Cacatan perjalanan: 100 ribu rakyat mengiringi perjalanan terakhir pejuang bangsa.
Oleh Helme Hanafi
Seorang sahabat memberitahu keadaan Datuk Fadzil Nor tenat di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) malam Sabtu 22 Jun lalu. Saya terasa getar pada suaranya yang seolah-olah memberitahu supaya segera ke HUKM. Tanpa lengah saya menghubungi Naib Ketua Pemuda Keadilan, Shamsul Iskandar Mohd Akin dan memaklumkan keadaan terkini Datuk Fadzil.
Beliau ketika itu sedang menikmati makan malam di Bangsar bergegas menyemput saya dan seorang lagi sahabat di Bukit Melawati. Bertiga kami pergi ke HUKM dan sebaik tiba terserempak dengan Dr Mohd Nur Manuty yang berjalan keluar dari hospital diringgi oleh Datuk Dr Hassan Ali serta keluarga. Kami bersalaman dan bertanya khabar terkini Datuk Fadzil dan diberitahu keadaan beliau ketika itu stabil. "Tadi lepas Maghrib kuman masuk dalam darah jadi keadaan kritikal sikit tapi sekarang Alhamdulilah kembali stabil,"kata Dr Mohd Nur dan diakui oleh Dr Hassan Ali.
Selepas berbual seketika, kami minta diri untuk masuk ke HUKM. Kemudian kami bertembung pula dengan bekas Presiden ABIM pertama, Dr Razali Nawawi yang diiringgi oleh beberapa orang keluar dari HUKM. Selepas bertanya khabar, berpelukan kami melangkah masuk mencari bilik rawatan Datuk Fadzil. Kedatangan kami disambut oleh Setiausaha Agung PAS, Ust Nasaruddin Mat Isa dan Setiausaha Politik kepada Datuk Fadzil, Dr Hatta Ramli.
Di balkoni sebelum masuk ke bilik rawatan terdapat juga anak lelaki Datuk Fadzil yang kelihatan tenang memberitahu ayahnya telah kembali stabil selain beberapa lain kenalan rapat Presiden PAS tersebut. Kerana kedatangan saya pada malam itu bukan diatas arahan atau tugas mencari berita, jadi saya hanya berbual-bual dengan Dr Hatta dan mendengar cerita dari Ust Nasaruddin.
Cerita perletakan jawatan Dr Mahathir yang kemudian ditarik balik menjadi bahan berlucu kami malam itu. Kami pulang ke rumah masing-masing setelah jam menunjukkan pukul 3 pagi. Pukul 10.50 pagi 23 Jun lalu, Shamsul orang pertama menelifon saya memberitahu bahawa Datuk Fadzil Nor telah kembali ke Rahmatullah. Dalam keadaan terkejut saya menghubungi seorang sahabat dan beliau menyuruh saya bersiap untuk ke HUKM.
Dari jauh saya perhatikan perkarangan HUKM telah dipenuhi oleh orang ramai. Sebaik tiba saya lihat Ketua Pemuda PAS, Mahfuz Omar memberitahu orang ramai bahawa jenazah akan dikebumikan di Muasasah Darul Ulum, Pokok Sena, Kedah. "Sesiapa yang hendak ke Kedah boleh bertolak sekarang kerana jenazah akan diterbangkan terus ke Alor Setar,"kata Mahfuz kepada orang ramai. Pemimpin PAS, Keadilan, Umno, dan orang ramai bercampur baur.
Di celah-celah orang ramai itu saya terpandang 'boss' saya, Pak Khalid Jaafar dan peguam muda Yusmadi Yusuf. Saya pergi bertemu beliau dan diberitahu supaya bersiap untuk menghadiri upacara perkebumian Datuk Fadzil Nor di Muasasah Darul Ulum, Kedah. Ketika kereta kami memasuki pekan Alor Setar jam menunjukkan pukul 5.40 petang. Kami sememangnya menjangkakan kesesakan lalu lintas tapi yang memeranjatkan adalah kesesakan tersebut bermula kira-kira 11 Kilometar dari Muasasah.
Kereta bergerak perlahan dengan di kiri-kanan jalan penunggang motosikal asyik mencelah mencari ruang kosong. Selepas 3 kilometar bersesak-sesak, kami benar-benar terperangkap akhirnya setelah melihat beberapa pemimpin mula berjalan kaki, kami mengambil keputusan untuk berjalan sama.
Ribuan orang dengan kenderaan terperangkap dan hanya penunggang motorsikal sahaja yang bergerak. Saya lihat Pak Khalid menahan seorang penunggang motorsikal, bercakap seketika dan membonceng motorsikal tersebut diikuti oleh YB Azmin Ali dan beberapa orang lagi. Ketika itu saya diberitahu jarak Muasasah Darul Ulum dengan tempat kami berjalan kira-kira 7 kilometar.
Setelah berjalan lebih satu kilometer saya lihat bekas Yang diPertuan Persatuam Ulama Malaysia, Ust Ahmad Awang turut terperangkap dalam kereta yang dinaikinya. Ketika itu, ada sebuah motorsikal berhenti dan bertanya samada saya ingin menumpang beliau. Lelaki lewat 50 an yang masih gagah itu bercerita bahawa beliau adalah orang kampung Pokok Sena. Katanya inilah kali pertama beliau lihat orang seramai ini.
"Ceramah besar selalu ada, tapi ini kali pertama pak cik tengok orang terlalu ramai,"katanya yang bercerita bahawa pada petang itu beliau berulang-alik berkali-kali untuk menumpangkan orang ke muasasah. "Ust Fadzil orang yang baik hati, dia jumpa kita kat mana pun angkat tangan, tak pernah sombong,"katanya dengan lohgat kedah yang pekat.
"Ust Fadzil minta kalau dia meninggal tanam kat sini (muasasah), dulu Pokok Sena ini orang tak mai, tempat jin bertendang, tapi Ust Fadzil beli tanah berpuluh ekar, buat muasasah, buat tempat ceramah,"katanya penuh dalam remang-remang senja petang itu. "Anak pak cik mengaji kat muasasah tu, lepas nie boleh sambung pi Mesir, Al-Azhar.
Ust Fadzil la yang suruh buat muasasah tu dulu. Kami orang kampung terhutang budi dengan Ustaz (Fadzil) kalau tak sebab dia mana ada orang Kuala Lumpur sampai kat Jabi (nama kampung), mana ada orang nak peduli dengan kami,"kata beliau yang sanggub berulang-alik dengan motorsikal 'uzur' yang menghantar orang ramai ke muasasah.
Saya tiba di muasasah tapi tidak boleh masuk untuk melihat jenazah kerana orang terlalu ramai. Ketika itu saya terbayang betapa Datuk Fadzil Nor disayangi oleh rakyat Malaysia dan orang Kedah terutamanya. Saya lihat surau besar di muasasah dipenuhi dengan orang yang membaca Al-Quran, bertahlil dan berzikir. Puluhan ribu lagi di luar terperangkap dalam kesesakan luar biasa di Pokok Sena.
Ketika Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz berucap, beliau berkata, PAS telah kehilangan ramai pimpinan. Di seluruh Malaysia tapi inilah kali pertama dia melihat bagaimana ratusan ribu orang hadir ke majlis perkebumian seorang pemimpin PAS. "Ini membuktikan perjuangan beliau telah berjaya menyakinkan orang ramai. Orang ramai terhutang budi dengan pemimpin berjiwa besar seperti beliau,"kata Tuan Guru Nik Aziz sebelum mengimamkan jenazah Allahyarham Ust Datuk Fadzil Nor.
Allahyarham sepanjang hayatnya adalah pejuang yang gigih, sabar, komited dan sederhana. Demi kepentingan perjuangan Datuk Fadzil Nor akan bersahabat dengan sesiapa sahaja walaupun orang itu dulu adalah lawan beliau. Sifat tidak berdendam menjadikan beliau dihormati oleh kawan dan segani oleh lawan. Semoga Rohnya ditempatkan bersama orang-orang yang beriman.-Al Fatihah.


Mengenang Ayahanda Almarhum Ustaz Fadzil Mohd Noor
Bahagian Pertama
Oleh AHMAD LUTFI OTHMAN
Tergamam, pedih, pilu, terharu, sebak, terasa kosong dan hening sekali. Itulah perasaan saya ketika mendengar khabar kematian seorang pejuang Islam unggul bertaraf negarawan, Almarhum Ustaz Fadzil Mohd Noor, pagi Ahad lalu.
Almarhum pergi meninggalkan kita buat selama-lamanya ketika mana parti dan negara begitu memerlukannya. Pandangan dan sentuhan politiknya cukup memukau, penuh hikmah, jauh ke depan, dan kadang-kadang agak sukar diterima penyokong dan pendokong PAS buat permulaannya.
Namun, Allah lebih menyayanginya. Dan kunjungan lebih 100,000 rakyat yang mencintainya ketika majlis pengkebumian dilangsungkan adalah bukti nyata Almarhum dekat di hati rakyat. Biarpun memimpin sebuah parti Islam terulung di rantau ini, Almarhum tetap merendah diri, mudah ditemui, begitu akrab menyantuni tetamu dan membuatkan sesiapa saja yang ingin menemuinya terasa senang sekali.
Almarhum Ustaz Fadzil Mohd Noor adalah lambang pemimpin gerakan Islam dan ketua parti politik Islam yang bijak mengatur langkah dan memanfaatkan senario sekeliling. Biarpun menderitai sakit sejak sekian lama, namun beban tugas seharian ditanggungnya penuh bijaksana.
Almarhum disayangi pendokong dan penyokong parti. Beliau bagaikan seorang ayah yang mengasuh anak-anak untuk berdepan dengan medan tempur yang cukup mencabar. Dan muktamar PAS yang terakhir di Kota Bharu menyaksikan wajahnya penuh ceria melihat anak-anak yang diasuhnya kian matang dan teruji untuk menyahut cabaran.
Kehilangannya cukup terasa. Pemergiannya begitu meninggalkan bekas buat kita semua, bukan saja dalam PAS tetapi juga buat ummat sejagat. Almarhum telah meletakkan batu asas yang menjulang nama PAS ke persada perdana politik negara.
PAS di bawahnya adalah parti arus perdana yang tidak boleh dipinggirkan lagi. Dan kedudukannya sebagai Ketua Pembangkang di Parlimen melakar sejarah tersendiri. Biarpun hanya baru separuh penggal, namun isu-isu yang dikemukakan Almarhum mencakupi segenap aspek dan ini mengejutkan parti lawan. PAS bukan lagi menjuarai isu-isu agama tetapi berjaya mengungkapkan segala permasalahan negara sewajarnya. Justeru, ia tetap dihormati semua pihak, termasuk pemimpin-pemimpin Umno dan parti komponen BN lainnya.
Sesiapa yang mengenali Almarhum pasti tidak akan lupa bidasan tajamnya, lawak jenaka berbisanya. Seorang teman berkata, tanpa bidasan dan jenaka, itu bukan Ustaz Fadzil namanya. Dalam keras mengkritik, Almarhum menyulaminya dengan nada seloroh yang memukau. Tatapilah kembali VCD yang merakamkan ucapannya di Parlimen, bagaimana Almarhum memberi respons segera kepada 'gangguan' beberapa Ahli Parlimen pemerintah.
Pendekatan Almarhum sederhana, berhati-hati, tetapi meninggalkan impak berkesan. PAS bertuah kerana dapat meneruskan aspirasi perjuangan Almarhum apabila landasannya kukuh dibina sehingga pendekatan Almarhum, bagi saya, adalah pendekatan yang akan digunapakai oleh PAS dalam tempoh yang agak lama.
Namun dalam kesederhanaan, Almarhum cukup tegas menghadapi pancaroba durja parti pemerintah. Berdepan larangan ceramah umum terhadap parti pembangkang, Almarhum adalah pemidato yang tidak akan menolak undangan berceramah walaupun majlis itu tidak mendapat permit polis. Di kala ramai lagi pemimpin pertengahan PAS yang mungkin teragak-agak berdepan dengan FRU dan gas pemedih mata, Almarhum menunjukkan model teladan unggul.
Sekurang-kurangnya dua peristiwa besar politik negara berjaya ditangani dengan penuh berhikmah oleh Almarhum. Pertama, konflik dalaman Umno yang membuatkan Tengku Razaleigh Hamzah dan Team B terkeluar, yang membentuk Semangat 46. Pandangan jauh Almarhum terserlah bila gagasan Angkatan Perpaduan Ummah dibentuk. Sebenarnya tidak mudah untuk Almarhum berdepan dengan pelbagai kritikan, termasuk dari dalam parti sendiri, sebelum Angkatan dapat dibentuk. Kedua, pemecatan Anwar Ibrahim daripada kerajaan pada 2 September 1998. Almarhum diberitakan terus mengunjungi Anwar di rumahnya -- ketikamana Anwar masih menjadi Timbalan Presiden Umno -- tanpa merujuk terlebih dulu dengan parti. Namun kesan dua peristiwa besar itu begitu memberansangkan, sekaligus membawa PAS ke dalam aliran perdana percaturan politik negara.
Apa pun, tiada kata dapat menggambarkan kepiluan dan kekosongan ini. Sentuhan kasih sayangnya terhadap ahli-ahli parti tiada taranya. Masih tergambar bagaimana mudahnya Almarhum ditemui di gerai-gerai makan ketika muktamar PAS berlangsung oleh orang kebanyakan, dan mudahnya Almarhum menyambut sapaan rakyat bawahan di mana saja. Benar, dan benar sekali, Almarhum adalah pemimpin berjiwa rakyat, menyelami denyut jantung kepedihan rakyat dan bersedia memberi tunjuk ajar bagi ahli-ahli parti parti mengharungi perjuangan yang masih panjang ini.
 
Keunikan Almarhum Fadzil Noor
Oleh AHMAD LUTFI OTHMAN
Bahagian Kedua
Kesederhanaan Almarhum Ustaz Fadzil Mohd Noor banyak diperkatakan bukan saja oleh pendokong jamaah Islam tetapi juga seteru politiknya. Sikap ramah dan kebapaannya membuatkan bukan saja pimpinan PAS yang mendapat asuhan terus darinya sebak mengenangnya, tetapi rakyat biasa yang sesekali dapat berjumpanya pun tidak dapat melupakannya.
Seorang pembantu rapatnya memberitahu, dalam keadaan sakit sekalipun, sewaktu membuat pemeriksaan di hospital, Almarhum tetap beratur panjang, seperti pesakit lain juga, untuk mendapatkan ubat. Malah seorang kerani Telekom di Alor Setar, melihatkan Almarhum berdiri dalam deretan untuk membayar bil telefon, langsung mengisi borang keahlian PAS.
Bagi petugas di Pejabat Agung PAS, menyantuni Almarhum adalah pengalaman berharga yang akan menjadi lipatan kenangan sampai bila-bila. Sebelum menyewa rumah khas, Almarhum kerap tidur di ibu pejabat parti ataupun pejabat Harakah. “Selalu sangat Ustaz Fadzil tidur di atas sofa di pejabat agung. Dia tak mahu menyusahkan orang lain,” kata seorang aktivis parti.
Bagi sesiapa yang selalu berkunjung ke Jalan Pahang Barat, tidak sukar untuk menyapa Almarhum di Restoran Haslam ataupun gerai Kak Ros di depan Harakah. Dengan nada suaranya yang agak perlahan, namun gurau senda dan cerita lucunya mudah mencetuskan keceriaan berpanjangan. (Ini diakui sendiri oleh Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan, Dr Ismail Ibrahim; lihat Utusan Malaysia, Khamis lalu). Kita tidak merasa terasing atau kekok meskipun baru pertama kali berdepan dengannya. Kemesraan cukup mudah berputik.
Jika menerima undangan, Almarhum pasti tidak mengecewakan meskipun dalam keadaan uzur. Misalnya, ketika saya melangsungkan majlis perkahwinan di Kampung Raja, Kubang Pasu, 11 tahun lalu, bila mengetahui Almarhum sedang sakit, saya tidak mahu membebankannya untuk hadir bersama. Justeru, saya hanya menghantar kad melalui pos, sekadar makluman. Saya risau jika mengundangnya secara lisan Almarhum terpaksa bersusah payah datang meraikannya.
Namun, pada petang hari kenduri, Almarhum tiba-tiba muncul. Wajahnya menggambarkan keuzuran yang ditanggungnya. Bersama dua tiga orang lagi dari Pejabat PAS Kedah, Almarhum langsung ke dalam rumah. Rupanya untuk duduk bersila pun Almarhum tak mampu, tetapi jamuan tetap dijamahnya walaupun saya kira menu juadah pantang bagi penyakitnya.
Mengimbas beberapa peristiwa besar yang dilalui PAS di zamannya, jelas Almarhum suka bereksperimen dan tidak gopoh berdepan kesulitan. Sememangnya dalam konteks gerakan Islam sejagat, pengalaman Malaysia adalah unik dan tersendiri jika mahu dibandingkan dengan harakah Islam yang lebih berpengalaman, misalnya Ikhwanul Muslimin di Tanah Arab ataupun Jamaat Islami di India, Pakistan.
Almarhum bijak mengatur rentak dan tempo, menggauli pengalaman dan sejarah silam, bersama rencah real politik yang serba mencabar. Sesungguhnya tidak mudah PAS mahu keluar ke persada arus perdana politik negara setelah hampir berjaya cuba dipinggirkan pada 1986, selepas hanya menang satu kerusi Parlimen di Pengkalan Chepa. Tok Guru Nik Aziz yang berpindah ke Bachok turut kecundang. Sebuah majalah di Indonesia meletakkan tajuk yang agak sinis buat PAS: “Menang satu kerusi untuk tubuh Negara Islam.”
Lebih awal dari itu, selepas Allahyarham Datuk Asri Muda meletakkan jawatan, tanda bermulanya era kepemimpinan ulamak, Almarhum merupakan antara arkitek utama mengemudi “PAS baru”. Pada hemat saya, seolah-olah berlaku satu revolusi dalam PAS, apabila bukan sahaja kepimpinan bertukar, tetapi penekanan dan pendekatan perjuangan, malah roh jamaah Islam itu dimantapkan dengan idealisme baru yang lebih suci. Dan tonggak utama PAS era baru ini, di belakang Yang Dipertua Agung, Almarhum Yusuf Rawa adalah Ustaz Fadzil.
Dalam kesederhanaan dan gurau sendanya, Almarhum tidak takut untuk melakukan perubahan. Untuk mengulas gerak langkahnya menyusun strategi ia memerlukan satu analisis khusus. Saya cuba mahu mengungkapkan bagaimana beberapa pendekatannya berdepan real politik negara kadang-kadang disalah tanggap, misalnya ketika menghulur persahabatan dengan Tengku Razaleigh selepas pengharaman Umno 1988 dan episod pemecatan Anwar Ibrahim, sepuluh tahun selepas itu, 1998.
Berbeza dengan tanggapan sesetengah pihak yang mengandaikan Almarhum tidak merujuk terlebih dahulu dengan pimpinan parti ketika membuat keputusan penting, termasuk untuk menghadiri syarahan perdana isu Palestin bersama Mahathir, lebihkurang sebulan sebelum kematiannya, saya dalam diam mengharapkan agar Ustaz Fadzil lebih banyak bertindak atas kapasitinya sebagai Presiden tanpa perlu merujuk sangat ahli jawatankuasa parti lainnya.
Bagi saya, Almarhum perlu lebih ‘autokratik’, dengan maksud perlu lebih selesa merumuskan agenda penting perjuangan tanpa perlu terlalu terikat dengan ‘birokrasi parti’. Tidak pula bermakna Almarhum menolak syura dan perundingan, tetapi banyak aksi-aksi politik tempatan memerlukan langkah pro-aktif yang tangkas dan segera. Ini kerana, pada pemerhatian saya, Almarhum amat sedikit menggunakan kuasanya sebagai presiden, dengan lebih banyak mengagihkannya kepada pimpinan di bawahnya.
Maafkan saya jika terpaksa membawa beberapa contoh yang dekat dengan saya sendiri, bagi menggambarkan perwatakannya yang jauh bertentangan dengan Presiden Umno, terutama dalam konteks bagaimana beliau menggunakan kuasanya sebagai Presiden PAS.
 
Rujukan:
- Ustaz Dato' Haji Fadzil Mohd Noor - Presiden PAS diakses dari laman PAS Batu 9 Kg. Tengah  Ustaz Dato' Haji Fadzil Mohd Noor - Presiden PAS
- Dato' Hj Fadzil Dalam Kenangan di akses dari Arkib Tranungkite
- Artikel-artikel Harakah
-Tulisan Ahmad Lutfi Othman 
 
L1™
copy & edit dari :
http://pas.org.my/index.php?option=com_content&task=view&id=1188&Itemid=32
link lain : http://en.wikipedia.org/wiki/Fadzil_Noor

Rabu, Mei 26, 2010

Mata siapa yang tidak pernah menangis.

Paparan Saya, Tafsiran anda.

Mata siapa yang tidak pernah menangis.

Pada setiap Jumaat, selepas selesai menunaikan solat Jumaat, seorang Imam
dan anaknya yang berumur 7 tahun akan berjalan menyusuri jalan di kota itu
dan menyebarkan risalah bertajuk "Jalan-jalan Syurga" dan beberapa karya
Islamik yang lain.

Pada satu Jumaat yang indah, pada ketika Imam dan anaknya itu hendak keluar
seperti biasa meghulurkan risalah-risalah Islam itu, hari itu menjadi amat
dingin dan hujan mulai turun.

Anak kecil itu mula membetulkan jubahnya yang masih kering dan panas dan
seraya berkata "Ayah! Saya dah bersedia"

Ayahnya terkejut dan berkata "Bersedia untuk apa?". "Ayah bukankah ini
masanya kita akan keluar menyampaikan risalah Allah"

"Anakku! Bukankah sejuk keadaan di luar tu dan hujan juga agak lebat"

"Ayah bukankah masih ada manusia yang akan masuk neraka walaupun ketika
hujan turun"

Ayahnya menambah "Ayah tidak bersedia hendak keluar dalam keadaan cuaca
sebegini"

Dengan merintih anaknya merayu "Benarkan saya pergi ayah?"

Ayahnya berasa agak ragu-ragu namun menyerahkan risalah-risalah itu kepada
anaknya "Pergilah nak dan berhati-hatilah. Allah bersama-sama kamu!"

"Terima kasih Ayah" Dengan wajah bersinar-sinar anaknya itu pergi meredah
hujan dan susuk tubuh kecil itu hilang dalam kelebatan hujan itu.

Anak kecil itu pun menyerahkan risalah-risalah tersebut kepada sesiapa pun
yang dijumpainya. Begitu juga dia akan mengetuk setiap rumah dan memberikan
risalah itu kepada penghuninya.

Setelah dua jam, hanya tinggal satu saja risalah "Jalan-jalan Syurga" ada
pada tangannya. DIa berasakan tanggungjawabnya tidak akan selesai jika
masih
ada risalah di tangannya. Dia berpusing-pusing ke sana dan ke mari mencari
siapa yang akan diserahkan risalah terakhirnya itu namun gagal.

Akhirnya dia ternampak satu rumah yang agak terperosok di jalan itu dan
mula
mengatur langkah menghampiri rumah itu. Apabila sampai sahaja anak itu di
rumah itu, lantas ditekannya loceng rumah itu sekali. Ditunggunya sebentar
dan ditekan sekali lagi namun tiada jawapan. Diketuk pula pintu itu namun
sekali lagi tiada jawapan. Ada sesuatu yang memegangnya daripada pergi,
mungkin rumah inilah harapannya agar risalah ini diserahkan. Dia mengambil
keputusan menekan loceng sekali lagi. Akhirnya pintu rumah itu dibuka.

Berdiri di depan pintu adalah seorang perempuan dalam lingkungan 50an.
Mukanya suram dan sedih. "Nak, apa yang makcik boleh bantu?"

Wajahnya bersinar-sinar seolah-olah malaikat yang turun dari langit.
"Makcik, maaf saya mengganggu, saya hanya ingin menyatakan yang ALLAH amat
sayangkan makcik dan sentiasa memelihara makcik. Saya datang ini hanya
hendak menyerahkan risalah akhir ini dan makcik adalah orang yang paling
bertuah". Dia senyum dan tunduk hormat sebelum melangkah pergi.

"Terima kasih nak dan Tuhan akan melindungi kamu" dalam nada yang lembut

Minggu berikutnya sebelum waktu solat Jumaat bermula, seperti biasa Imam
memberikan ceramahnya. Sebelum selesai dia bertanya "Ada sesiapa nak
menyatakan sesuatu"

Tiba-tiba sekujur tubuh bangun dengan perlahan dan berdiri. Dia adalah
perempuan separuh umur itu. "Saya rasa tiada sesiapa dalam perhimpunan ini
yang kenal saya. Saya tak pernah hadir ke majlis ini walaupun sekali. Untuk
pengetahuan anda, sebelum Jumaat minggu lepas saya bukan seorang Muslim.
Suami saya meninggal beberapa tahun lepas dan meninggalkan saya keseorangan
dalam dunia ini" Air mata mulai bergenang di kelopak matanya.

"Pada Jumaat minggu lepas saya mengambil keputusan untuk membunuh diri.
Jadi
saya ambil kerusi dan tali. Saya letakkan kerusi di atas tangga menghadap
anak tangga menuruni. Saya ikat hujung tali di galang atas dan hujung satu
lagi diketatkan di leher. Apabila tiba saat saya untuk terjun, tiba-tiba
loceng rumah saya berbunyi. Saya tunggu sebentar, pada anggapan saya, siapa
pun yang menekan itu akan pergi jika tidak dijawab. Kemudian ia berbunyi
lagi. Kemudian saya mendengar ketukan dan loceng ditekan sekali lagi".

"Saya bertanya sekali lagi. Belum pernah pun ada orang yang tekan loceng
ini
setelah sekian lama. Lantas saya melonggarkan tali di leher dan terus pergi
ke pintu"

"Seumur hidup saya belum pernah saya melihat anak yang comel itu.
Senyumannya benar-benar ikhlas dan suaranya seperti malaikat". "Makcik,
maaf
saya mengganggu, saya hanya ingin menyatakan yang ALLAH amat sayangkan
makcik dan sentiasa memelihara makcik" itulah kata-kata yang paling indah
yang saya dengar".

"Saya melihatnya pergi kembali menyusuri hujan. Saya kemudian menutup pintu
dan terus baca risalah itu setiap muka surat. Akhirnya kerusi dan tali yang
hampir-hampir menyentap nyawa saya diletakkan semula ditempat asal mereka.
Aku tak perlukan itu lagi".

"Lihatlah, sekarang saya sudah menjadi seorang yang bahagia, yang menjadi
hamba kepada Tuhan yang satu ALLAH. Di belakang risalah terdapat alamat ini
dan itulah sebabnya saya di sini hari ini. Jika tidak disebabkan malaikat
kecil yang datang pada hari itu tentunya roh saya ini akan berada
selama-lamanya di dalam neraka"

Tiada satu pun anak mata di masjid itu yang masih kering. Ramai pula yang
berteriak dan bertakbir ALLAHUAKBAR!

Imam lantas turun dengan pantas dari mimbar lantas terus memeluk anaknya
yang berada di kaki mimbar dan menangis sesungguh-sungguh hatinya.

Jumaat ini dikira Jumaat yang paling indah dalam hidupnya. Tiada anugerah
yang amat besar dari apa yang dia ada pada hari ini. Iaitu anugerah yang
sekarang berada di dalam pelukannya. Seorang anak yang seumpama malaikat.

Biarkanlah air mata itu menitis. Air mata itu anugerah ALLAH kepada
makhlukNya yang penyayang

Panjangkanlah risalah ini. Ingat ALLAH sentiasa menyayangi dan memelihara
kamu!

ALLAHUAKBAR!

Wassallam

p/s : copy & paste dari email yg aku received..x tau la sapa penulis asal cerita ni..kat ayat dia pun suruh sebarkan..dlm Islam pun xda hak cipta ni kan..ALLAH ja Maha Pencipta..